Saudaraku yang dirahmati Allah,Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa. Marilah kita hayati perjalanan hidup Rasulullah s.a.w yang penuh dengan keihsanan dan kesejahteraan. Moga-moga dengan kita mengenal Baginda Rasulullah serta keperibadiannya dapat kita mengambil iktibar dan pengajaran darinya.
Saudaraku,
Hari ini ,Rabu 30 Julai 2008 bersamaan 27 Rejab 1429 merupakan satu tarikh yang penuh bersejarah untuk umat Islam. Tarikh 27 Rejab akan mengingatkan kita pada satu kejadian yang istimewa ke atas Baginda Rasulullah s.a.w. Kejadian ini merupakan ujian untuk menetukan keteguhan iman umat Islam pada ketika itu.
Peristiwa israk dan mikraj merupakan suatu tanda kebesaran Allah s.w.t. Saban tahun kita diingatkan dengan peristiwa agung ini yang pernah dilalui Rasulullah s.a.w. Kerana ianya mempunyai banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar buat kehidupan kita.
Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al Israk ayat 1:Yang bermaksud: "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."Kisah israk dan mikraj adalah sebuah kisah yang benar-benar berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. Ianya merupakan suatu peristiwa yang sukar difahami dan diterima kebenarannya oleh masyarakat yang hidup pada zaman tersebut.
Perjalanan ke Baitul maqdis daripada kota Mekah, yang biasanya memakan masa lebih sebulan lamanya telah dapat dipendekkan dan berlaku dalam masa satu malam. Bagaimanakah agaknya penerimaan masyarakat ketika itu?Sudah tentu mereka susah hendak menerima kebenaran cerita Rasulullah s.a.w. Kaum musyrikin yang memang tidak percayakan ajaran Baginda, makin yakin bahawa Baginda sudah gila. Mereka makin lantang mencemuh dan mengejek Baginda. Sebahagian orang-orang Islam yang tidak kuat imannya, mula menyoalkan kebenaran Rasulullah s.a.w. Sehingga diriwayatkan ada beberapa orang yang murtad setelah mendengar kisah ini.
Tetapi di dalam keadaan yang membingungkan seperti itu, Abu Bakar merupakan orang pertama yang membenarkan kisah Rasulullah s.a.w. Dia tampil kehadapan dan menyatakan kepercayaannya kepada kebenaran kisah Baginda. Di atas sebab itu beliau digelarkan As Siddiq yakni yang membenarkan. Kepercayaan Abu Bakar ra terhadap Rasulullah merupakan suatu yang harus kita jadikan iktibar dan pengajaran. Beliau tidak ragu-ragu membenarkan kisah Baginda. Walaupun kisah tersebut merupakan kisah yang ajaib dan di luar bayangan manusia pada zaman itu. Beliau tidak menghiraukan cemuhan dan ejekan yang dilemparkan terhadap Baginda malah menyokong Baginda. Inilah dia prinsip yang ditunjukkan oleh Sayidina Abu Bakar.
Sejarah membuktikan kesetiaan dan kejujuran Saiyidina Abu Bakar terhadap perjuangan Rasulullah s.a.w, dan keyakinannya bahawa Rasulullah adalah utusan Allah. Maka layaklah Saiyidina Abu Bakar digelar oleh Rasulullah s.a.w dengan gelaran As-Siddiq, yang membenarkan.
Dan dengan kenyataan Rasulullah s.a.w itu tadi, Saiyidina Abu Bakar berhak pula mempunyai sanjungan dari Allah Ta’ala, sebagaimana dinyatakan di dalam firmannya dalam surah Az-Zumar Ayat 33 :Yang bermaksud: "Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya , mereka itulah orang-orang yang bertaqwa"
Saudara ku,
Begitu keimanan para sahabat terhadap Baginda Rasulullah s.a.w sedangkan pada ketika itu pemikiran mereka tidak dapat menjangkau keajaiban yang berlaku dalam peristiwa israk dan mikraj. Bagaimana pula keimanan kita?
Pada hari ini kisah Israk dan mikraj tidak lagi menjadi keraguan kepada kita. Dengan mudah kita percaya kebenaran peristiwa ini kerana kita telah nampak dan ketahui betapa cepatnya seseorang dapat belayar dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Manusia juga telah dapat berjaya menembusi langit dan mampu terbang ke angkasa lepas.
Dengan penemuan-penemuan baru melalui sains dan teknologi ia bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian kita, malah ia telah membantu untuk lebih meyakinkan kita terhadap keajaiban-keajaiban yang diterangkan di dalam Al-Quran.
Amatilah firman Allah surah Ar-Rahman ayat 55:Yang bermaksud: "Hai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan."Dengan ilmu yang manusia ada seharusnya membantu meningkatkan iman kita mengenai kebenaran Al-Quran dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Namun masih banyak lagi ilmu yang perlu kita kuasai untuk mengetahui mengenai keajaiban dan rahsia Allah s.w.t. Sudah pasti terdapat hikmah mengapa sebahagian perkara masih dirahsiakan daripada pengetahuan manusia.Justeru itu kita perlu terus hidupkan dan tanamkan minat untuk mencari ilmu pengetahuan. Kerana dengan ilmu pengetahuan sahaja akan mengukuhkan lagi keimanan kita pada Allah swt dan membuktikan kepada kita akan kebenaran Al-Quran.
Sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah fussilat ayat 53:Yang bermaksud: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?"
Semoga melalui peristiwa israk mikraj yang penuh dengan keajaiban ini mendorong kita untuk terus meneroka akan keajaiban ciptaan Allah s.w.t. Semoga dengan sikap mencari dan meneroka akan mengukuhkan lagi iman pada Allah dan Rasulnya dan menjadikan kita sebuah masyarakat yang cinta pada ilmu dan menyumbang pada kesejahteraan agama, nusa dan bangsa.
Reference:
khutbah Jumaat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.