Raja Dr Nazrin Shah diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35, menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah yang mangkat pada Rabu, 28 Mei 2014.
Istiadat Pelantikan Raja Pemerintah Perak yang baharu itu berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah, pada jam 3.14 petang keesokkan harinya, 29 Mei 2014 sebelum Almarhum ayahandanya Sultan Azlan dimakamkan.
Pengumuman pelantikan itu dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Seri Maharaja, Tan Sri Jen B Mohd Zahidi Zainuddin.
Dalam lafaz sumpah, Sultan Dr Nazrin Shah bertitah: "Bismillahirrahmanirrahim... adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian jajahan takluknya menurut perlembagaan negeri Perak dengan adil mengikut hukum Allah."
Susulan itu, Mufti Tan Sri Harussani Zakaria membaca doa selamat.
Sultan Dr Nazrin Shah kemudian meletakkan tangan kanan baginda atas keranda jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya keranda diangkat dan diusung keluar untuk istiadat pemakaman.
Serentak itu, bedilan meriam sebanyak 86 das mengikut umur Almarhum dilepaskan oleh pasukan Bateri Rejimen Artileri Diraja.
Bedilan itu bermula dari Sultan Perak meletakkan tangan sehingga jenazah diusung ke Makam Diraja bersebelahan Masjid Ubudiah.
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana, merendah diri dan berjiwa rakyat.
Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St John Institution.
Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University.
Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera, Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun, dan seorang puteri, Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.
Semoga Sultan Nazrin akan memerintah negeri Perak dengan adil sebagaimana almarhum ayahanda baginda, amin...
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.